salam

Thursday, March 24, 2011

UTHM unggul dalam pertandingan robot 2011 Menjuarai Kategori ’Paintball Robot’

 Bangga dengan budak kelas saya :)


Sekumpulan pelajar kejuruteraan mekanikal yang cemerlang dari Fakuliti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan telah mencapai prestasi yang menakjubkan apabila berjaya mengharumkan nama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bila dinobatkan sebagai juara dalan kategori "Paintball Robot" di Malaysia University Robot Competitions (MURoC 2011).

Pertandingan tahunan itu telah dianjurkan oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama dari pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bertempat di Dewan Wawasan 2020, Kangar, Perlis dari 25 hingga 27 Februari 2011. MURoC merangkumi tiga kategori iaitu "Paintball Robot", "Rope Climbing" dan "Fire Fighting". 

Di dalam upacara penutup, pasukan "Paintball Robot" dari UTHM telah dianugerahkan piala kejuaraan dan cek yang disampaikan oleh D.Y.T.M Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis. 

Terdapat sembilan pasukan dari IPTA dan IPTS yang mengambil bahagian dalam pertandingan Paint Ball. Pada hari pertama pertandingan, pasukan UTHM telah berjaya memenangi enam dari lapan perlawanan termasuk perlawan dengan juara bertahan, pasukan UPM. Keputusan ini telah melayakkan pasukan UTHM untuk ke spara akhir dan telah bertemu kembali dengan juara bertahan UPM. Selepas pertarungan sengit pasukan UTHM telah berjaya memperdaya pihak lawan dan menempah tiket ke perlawan akhir menentang tuan rumah, UniMAP. Dalam perlawanan akhir, pasukan UTHM telah berjaya merebut gelaran juara  dan menempa sejarah untuk UTHM. 

Ringkas dan mudah telah menjadi konsep utama dalam rekabentuk robot UTHM. Ianya mudah dipasang, tahan lasak dan mudah disenggara. Kebanyakkan komponen elektrik dan elektronik telah dibekalkan oleh Makmal Automasi Industri dan Makmal Robot, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP). Selain dari itu, Makmal Robotik, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) juga menyumbangkan khidmat kepakaran dan berkongsi komponen. Kerja fabrikasi telah dilakukan di Makmal Pemesinan Berkomputer, Makmal Pemesinan Termaju, Makmal Pemesinan Konvensional, FKMP. Semua kerja pembangunan telah dibantu oleh juruteknik makmal terlibat di bawah pemantauan rapi staf akademik. Adalah sesuatu yang boleh dibanggakan bahawa tiada masalah teknikal yang dihadapi sepanjang pertandingan berlangsung. 

Semangat kerja berpasukan dan kekuatan mental pelajar serta staf dari pelbagai bidang telah jelas terserlah semasa membuat persediaan untuk perlawanan. Pelajar hanya mengambil masa selama tiga bulan untuk menyiapkan rekabentuk, melakukan fabrikasi, pemasangan dan ujilari robot mereka. Pertandingan ini telah memberikan peluang keemasan kepada pelajar untuk memantapkan pengetahuan kejuruteraan yang telah dipelajari berserta kemahiran insaniah. Telah terbukti bahawa program akademik yang di bangunkan oleh ahli akedemik FKMP mempunyai nilai positif secara teori dan praktis. 

Dengan kemenangan ini telah menyuntik semangat kerjasama antara staf dan pelajar dalam mencapai kesempurnaan pengajaran dan pembelajaran serta meneroka pengetahuan dan teknologi baru dengan kebijaksanaan. 


Dikeluarkan oleh:

Shafry Salim
Pegawai Perhubungan Awam
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 

No comments:

Post a Comment